Wednesday 27 March 2013

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Pendidikan Percuma?


Menurut Frederick J. Mc Donald dan M.J. Langeveld, pendidikan merupakan suatu proses atau kegiatan yang diarahkan untuk mengubah kebiasaan (behaviour) manusia. Sebagai manusia, kita dilahirkan tanpa apa-apa pun. Tiada satu kebiasaan pun pada kita. Maka semakin seseorang itu membesar, disitulah letaknya tanggungjawab semua yang disekeliling untuk mencorakkan peribadi dan mewujudkan kebiasaan pada diri seseorang itu.

Dalam konteks pendidikan hari ini, benarkah wujud satu sistem pendidikan yang percuma secara holistik bermula dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi di mana-mana negara di dunia? Apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan percuma itu sendiri? Relevankah sistem ini?

Secara mudah, percuma bermaksud tidak dikenakan apa-apa bayaran atau caj. Jika justifikasi ini diambil kira, maka secara mudah juga kita akan bersetuju bahawa tidak ada satu sistem pendidikan di mana-mana negara yang diberikan secara percuma. Sebaliknya, pasti ada pihak yang mendanai sistem tersebut dari segenap sudut dan perkara.

Definisi umum yang diberikan di peringkat global juga menjelaskan bahawa pendidikan percuma sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan atau dibiayai melalui hasil percukaian negara, atau disokong (secara biasiswa) oleh organisasi tertentu yang tidak berorientasikan keuntungan jangka pendek. Hal ini bermakna,ia tidaklah benar-benar percuma kerana kos tersebut ditanggung melalui sumber lain oleh pihak tertentu seperti kerajaan atau organisasi yang terlibat secara langsung menyediakan pendidikan tersebut.

Terdapat beberapa buah negara yang memberikan pendidikan secara percuma di setiap peringkat kepada rakyatnya. Namun begitu, meskipun negara-negara tersebut menyediakan pendidikan secara percuma, kadar cukai yang dikenakan pula adalah tinggi hingga mencecah lebih 50% berbanding purata pendapatan dalam negara.

Salah sebuah negara tersebut ialah Finland yang mengenakan cukai hingga 49.2% iaitu kesembilan tertinggi di dunia. Hasil cukai inilah yang sebenarnya menampung perbelanjaan pendidikan di negara tersebut seperti membayar gaji para pensyarah, staff universiti, tukang sapu, pengawal keselamatan dan pelbagai lagi.

Negara-negara Yang Menyediakan Pendidikan Percuma

Berikut merupakan negara-negara yang menyediakan pendidikan percuma di semua peringkat kepada rakyatnya:

  1. Brunei
  2. Argentina
  3. Finland
  4. Norway
  5. Jerman

10 Negara Dengan Cukai Tertinggi

Berikut ialah senarai negara yang mengenakan cukai tertinggi ke atas rakyatnya:

  1. Aruba (58.95%) / Purata pendapatan – Tidak diperolehi
  2. Sweden (56.6%) / Purata pendapatan -  $48,800
  3. Denmark (55.4%) / Purata pendapatan - $64,000
  4. Netherlands (52%) / Purata pendapatan - $57,000
  5. Austria (50%) / Purata pendapatan - $50,700
  6. Belgium (50%) / Purata pendapatan- $52, 700
  7. Japan (50%) / Purata pendapatan - $53,200
  8. United Kingdom (50%) / Purata pendapatan - $52,320
  9. Finland (49.2%) / Purata pendapatan  - $49,000
  10. Ireland (48%) / Purata pendapatan - $40,900

No comments:

Post a Comment